Tuesday, January 18, 2011

ada apa dengan melayu?

Kalau roboh Kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau sungguh islam bertakhta
Jiwa dan raga hamba serahkan


hebatnya melayu bukanlah kerana sopan santunnya pabila berbicara tetapi hebatnya melayu kerana bertakhtanya Islam dalam hati.
apabila tegaknya Islam di hati,maka tatkala itulah bangsa melayu menjadi satu bangsa yang gah, kuat, dihormati, disanjung sehingga disebut-sebut kehebatannya dan dijadikan qudwah.
menegakkan agama di hati,akan menjadikan kita bangsa yang dihormati sehingga kita mempunyai jiwa yang sanggup berkorban demi mempertahankan tanah air yang tercinta.

cikgu fazdhly ada menyatakan apa sebenarnya melayu di dalam kelasnya..
"Dan itulah Melayu. Orang Melayu memang layu, tapi mereka layu bukannya kerana mereka lembik. Mereka layu bukannya kerana mereka tidak berguna. Tetapi orang Melayu itu layu kepada kuasa Allah SWT. Sebagaimana hebatnya mereka menguasai Melaka, sehingga bahasa Melayu menjadi lingua franca di rantau ini, mereka tidak angkuh. Lantaklah kita hebat macam mana, kita control perdagangan timur dan barat sekalipun, akhirnya kita semua kembali tunduk dan layu kepada Allah SWT. Itulah maksud Melayu"

Berlalunya 500 tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka perlu direnungkan semula. Ibrah yang penting pada 1511 perlu dirungkai dan diambil untuk dijadikan pedoman. Sejarah ini tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi bahan bacaan dan bahan dalam sukatan dalam mata pelajaran sejarah di dalam kelas, tetapi diingati dan mengambil nilainya agar kita tidak mengulangi sejarah ini. Oleh itu,cabarlah diri untuk meluangkan masa berada di Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Melayu Islam Melaka .


Jumpa anda di sana..!!^^
Melayu Sepakat Islam Berdaulat.


Friday, January 7, 2011

insaflah wahai diri

wahai diri...
lahirmu kerana satu tujuan dan matlamat
hidupmu bukan sekadar mengecap kenikmatan
kemanisan dunia tidakkan berkekalan
jangan sampai kau sesat di hujung jalan

wahai diri..
hari-harimu berlalu tanpa kau sedari
bulan dan tahun silih berganti
Ramadhan,Syawal..Muharram
Kehidupan semakin menjauhi
Kematian pula datang mendekati



wahai diri..
alam dan makhluk sukar mengasihimu
masa turut terus meninggalkanmu
manusia tidak akan selamanya bersamamu
yang pasti,hanya tuhan bisa menemanimu

wahai diri..
mengapa wujud takbur dan berbangga?
sedangkan kau hanya satu lagi ciptaanNya!
yang tiada upaya,lemah tidak bermaya


wahai diri..
mengapa kau masih ingkar
berani suruhan dan laranganNya kau langgar
kau nahi yang maaruf,kau amar yang mungkar 
sungguh berani kuasaNya kau cabar
mujur Tuhanmu Maha bersabar





wahai diri..
mengapa kau biarkan dirimu terleka
yakinlah kau akan satu perkara
setiap amal pasti akan dibalasNya
maka kembalilah ke jalan yang sepatutnya

wahai diri..
buanglah ego dan sombongmu
mintalah keampunan dari Tuhanmu
andai selamat yang kau mahu
dihari yang dahsyat dan tidak menentu

wahai Tuhan..terimalah ampunan diri ini..

"Dan janganlah sekali-kali kamu mengira,bahwa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim.Sesungguhnya,Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak"

"Mereka datang bergegas-gegas (memenuhi panggilan) dengan mengangkat kepalanya,sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong."

"Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari(yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka,maka berkata-katalah orang yang zalim,'Ya Tuhan kami,berilah kami kesempatan(kembali ke dunia) walaupun sebentar, niscaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul.'(Kepada mereka dikatakan),'Bukankah dahulu(di dunia) kamu sudah bersumpah bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?'"

(surah ibrahim:42-44)

namun kini,
kita tetap membiarkan diri kita hanyut dalam kebinasaan walaupun sudah terang-terangan ia adalah salah dan berdosa.
kita hanya mangambil dan mengamal islam sebahagian sahaja walaupun kita tahu bahawa Pencipta kita sudah berfirman dalam surah al-baqarah,ayat ke 208
"wahai orang-orang beriman!masuklah ke dalam islam secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan.Sungguhnya,ia musuh yang nyata bagimu"

cukupkah dengan mengucap khalimah syahadah sudah menjamin kita adalah muslim yang sebenar??
ayuh renungkan bersama.
insaflah wahai diri..

Saturday, January 1, 2011

Suka Duka 2010: apa peranan kita?

Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah,syukur ke hadrat Allah s.w.t,kerana tetap memberi peluang dalam meneguhkan pendirianku di jalanNya.

Sebagaimana yang kita maklum..tahun 2010 baru sahaja berlalu dan terus akan tinggalkan kita..semakin jauh masa yang berlalu,semakin dekat pula kita dengan pemutus segala kenikmatan iaitu mati..namun,ramai dalam kalangan kita kian alpa,mungkin terlupa,yang sebenarnya kehidupan kita ini hanya sementara.

Berlalunya tahun 2010,penuh dengan memori.Terlalu banyak insiden yang berlaku.Isu agama kita,umat kita,bangsa kita dan bermacam-macam lagi.Pada entri kali ini,saya berminat untuk mengimbau kembali beberapa insiden yang telah berlaku.Insiden yang melibatkan isu umat dan bangsa kita.Mungkin dengan ini,mampu membuka kotak fikiran kita supaya mengajar dan melatih diri kita untuk berada dalam kelompok yang sentiasa memikirkan nasib agama,bangsa dan umat kita.

31 Mei 2010


-Kapal Mavi Marmara-
Pada tarikh ini,berlaku satu insiden yang telah menyebabkan seluruh dunia bangkit dan mengecam tindakan tentera Israel laknatullah.. waktu ini,dunia menjadi saksi atas kekejaman dan sikap keganasan Israel di Perairan Antarabangsa Laut Mediterranean. Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dan 30 orang yang tidak bersenjata cedera apabila komendo Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi menghulurkan bantuan kemanusian ke Genting Gaza. Insiden ini telah menzahirkan betapa kejam dan ganasnya rejim Israel yang terkutuk itu.Walaupun, puluhan resolusi telah diadakan sebelum ini sejak resolusi 1850 tetapi tetap tidak diendahkan oleh rejim Israel. Benarlah kata-kata Dr Abdul Aziz Rantisi. “Musuhmu(yahudi) tidak akan memahami apa-apa bahasa, melainkan bahasa perang.”Serangan terhadap konvoi ini turut dapat membuka mata kita sendiri bagaimana teruknya sifat orang Yahudi yang sentiasa bermusuhan terhadap islam. Dalam hal ini,Allah telah berfirman: 

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka.”(surah al-baqarah:120)

Kalau direnungkan kembali,isu palestin sudah kembali senyap dan suram diperkatakan oleh masyarakat kita.Mengapa kita hanya sensitif kepada isu Palestin dan menghulurkan bantuan tatkala berlakunya sesuatu malapetaka atau insiden yang besar di Palestin dan mendapat liputan di seluruh dunia? Mengapa kita tidak mengambil tahu apa yang sedang berlaku sekarang di Palestin? Macammana keadaan Baitul Maqdis kini? Apa agenda sebenar orang Israel terhadap Baitul Maqdis? Bagaimana kesengsaraan masyarakat Gaza sekarang?atau kita hanya tahu kesengsaraan mereka ketika perang 21 hari pada akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009?Mengapa kita terus menyumbang kepada Israel walaupun kita tahu bahawa kita perlu memboikotnya?renung-renungkan wahai saudaraku..  


29 disember 2010
Akhirnya,bertempat di Stadium Gelora Bung Karno,pasukan bola sepak Malaysia berjaya mengakhiri kemaruk 14 tahun untuk memenangi Piala Suzuki AFF setelah berjaya mengalahkan pasukan garuda, Indonesia dengan agregat 4-2.Tahniah.Kemenangan ini telah meletakkan satu turning point buat pasukan bimbingan K.Rajagopal dalam membawa kembali era kegemilangan pasukan bola sepak negara.Kehangatan kejayaan ini masih terasa dan masih menjadi buah mulut masyarakat kita.Sehinggakan ramai yang bersemangat membeli jersi Harimau Malaya sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi pada pasukan bola sepak negara. Lihatlah, bagaimana pula meriahnya sambutan ketibaan skuad bola sepak di KLIA yang diberikan oleh penyokong sehingga dinyatakan lebih 2000 orang penyokong yang hadir.

-Tahniah Harimau Malaya..!-
Renungkan..Tatkala masuknya Harimau Malaya ke Final Piala Suzuki AFF 2010,semua rakyat Malaysia terutamanya orang-orang Melayu bersatu hati dalam menyokong pasukan bola sepak negara. Saya ada membaca artikel yang ditulis oleh teman seperjuangan saya,akh najmi latif yang ada menceritakan penyatuan ini tidak lain dan tidak bukan hanya kerana adanya rasa izzah(bangga) terhadap bangsa dan negara kita.Benarlah.Apabila skuad Harimau Malaya berjaya memenangi kejohanan itu,semua rakyat Malaysia (terutamanya Melayu) berasa bangga(izzah) terhadap negara dan bangsa sendiri. Mereka semua ibarat sudah bersatu dalam menjayakan impian mereka. Namun, alangkah indahnya sekiranya kesepakatan dan rasa izzah ini berteraskan islam yakni bersepakat dalam menegakkan kalimah Allah serta berasa izzah dengan bangsa dan menganuti agama islam serta beramal sebagai seorang muslim yang sebenar.

Itu antara insiden suka duka yang berlaku pada tahun 2010 yang dapat kita renungkan bersama.Ambillah sebanyak-banyak pengajaran daripada apa yang berlaku. Kini,kemasukan 2011 sudah terasa. Seperti biasa, setiap tahun,pada tanggal 1 januari,semua masyarakat di seluruh pelusuk dunia akan bergembira menyambut kedatangan tahun baru.Di Malaysia pula apa kurangnya, sebilangan umat manusia termasuk muslim turut meraikan kedatangan tahun baru dengan penuh kemeriahan dan kemaksiatan. Pada waktu inilah,ramai generasi harapan kita berada dalam kealpaan sehingga menyebabkan mereka melakukan kemaksiatan dengan lebih rancak sebagai tanda menyambut kedatangan tahun baru. Zina, arak, hiburan yang terlampau, berjudi dan sebagainya. Yang lagi menyedihkan,majoritinya adalah bangsaku sendiri, iaitu bangsa melayu.

Oleh itu,
apa peranan kita sebagai pihak yang sudah mengetahui generasi harapan dan masyarakat kita berada dalam kerosakan dan keruntuhan islam dalam diri?
Buktikan cinta kita pada agama,bangsa dan umat dengan mengeluarkan mereka daripada kejahilan dengan cara membina individu muslim berteraskan al-Quran dan as-Sunnah sebagai langkah pertama.

Ayuh kita buktikan bersama!

Sunday, December 19, 2010

Wahai Pemuda...!!siapa anda sebenarnya..??


~Semoga Allah meneguhkan hati ini dalam membuahkan amal dalam kehidupan seharian agar tidak tergolong dalam golongan yang mendustakan kalamNya~


Assalamualaikum..
Alhamdulillah..dengan berkat keizinanNya,dapat juga saya meng"update" blog ini..^^


Pemuda..
Hebatnya pemuda sehingga mampu mengubah corak masyarakat dunia.Islam berjaya menguasai 2/3 dunia pada suatu ketika dahulu adalah kerana kekuatan pemuda islam yang luar biasa. Panji-panji Islam tidak akan dapat ditegakkan dalam jiwa manusia sejagat, kekuasaannya tidak akan meluas ke seluruh pelusuk bumi dan dakwahnya tidak akan tersebar ke seluruh alam kecuali melalui tangan pemuda yang telah ditarbiyah di madrasah Rasulullah s.a.w.Bertukarnya zaman kegelapan masyarakat arab ke zaman keemasan sehingga mereka menjadi masyarakat islam yang dihormati dan terulung adalah disebabkan kesungguhan pemuda-pemuda didikan Rasululah.Siapa sangka,setelah kelompok pemuda yang sarat dengan sisa jahiliyyah menerima dakwah Rasulullah,menjadi pemimpin dunia. Bayangkan, tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam,Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam adalah melalui tangan para pemuda.Kita sendiri dapat lihat betapa besarnya perubahan yang telah dibawa oleh pemuda hatta jatuh bangunnya sesebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda tamadun itu.

Cuba kita renungkan kembali,kenapa mesti kelompok ini yang menjadi teras perubahan?mengapa pemuda?kenapa bukan golongan yang sudah berumur...??
ini kerana..
Tempoh muda ialah tempoh kemuncak kekuatan fizikal.
Tempuh muda ialah tempoh yang penuh dengan keupayaan.
Tempoh muda ialah tempoh penentuan hala tuju hidup.
Tempoh muda ialah tempoh yang disuruh "rebut" oleh Rasulullah s.a.w.
sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
"Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Usia Muda sebelum tua.Masa sihat sebelum sakit.Kaya sebelum miskin.Hidup sebelum mati.Masa lapang sebelum sibuk.”(al hadis)

Dr Yusuf al-Qardawi ada menyatakan.."kalau nak diumpamakan zaman pemuda ini adalah seperti saat matahari berada betul-betul tegak di atas kepala kita iaitu semasa waktu tengahari yang pada waktu inilah keadaan begitu panas dan cahaya yang begitu terik." Begitulah jua dengan pemuda kerana pada zaman inilah jiwa dan semangat kita boleh berada pada tahap maksimum. Bersemangat. Teguh. Mampu menanggung pelbagai mehnah.Tidak hiraukan cercaan hatta ejekan yang boleh melemahkan semangat kita.

Kehebatan pemuda jua mampu menggerunkan dan memberi ketakutan kepada pihak musuh. Saya teringat kisah kemunculan seorang pemuda bernama Yahya Ayyash di Palestin yang sering menggentarkan Israel sehingga dia menjadi sasaran utama dalam pemburuan besar-besaran para tertinggi tentera Hamas dan akhirnya dia terbunuh di tangan Israel. Hebatnya Yahya Ayyash ini, kerana beliau merupakan master-mind jihad Palestin.Subhanallah..Lihatlah bagaimana hebatnya kekuatan pemuda sehingga menakutkan musuh.

Al Imam As-syahid Hasan al-banna ada menyatakan..
“Generasi muda merupakan rahsia kehidupan umat dan sumber kebangkitannya.Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh-tokoh yang memenuhi syarat rijal(pemuda islam) yang sebenarnya.”
Dalam hal ini,Imam Hassan al-banna ada menggariskan rukun-rukun khusus untuk para pemuda iaitu iman,ikhlas,semangat dan amal.Hal ini kerana
-asas iman ialah hati yang terang
-asas ikhlas ialah jiwa yang bersih
-asas semangat ialah perasaan yang kuat
-asas amal ialah azam yang kuat.

Kita mempunyai peranan yang besar dalam menjayakan agenda umat. Kita merupakan pasak dan tulang belakang kepada kebangkitan agama dan umat. Kondisi umat kita kini memerlukan pemuda-pemuda yang mempunyai nilai-nilai tersebut seperti mana Salahuddin Al-Ayyubi yang berjaya menawan semula tanah suci palestin selepas hampir 88 tahun kota baitulmaqdis itu dikuasai tentera salib sehingga musuh islam kini sangat takut kehadiran generasi baru Salahuddin al-Ayyubi..seperti mana Usamah bin Zaid yang dilantik oleh Rasulullah s.a.w sebagai panglima tentera untuk memimpin pasukan muslimin menawan wilayah Syam dalam usia 18 tahun..seperti mana Sultan Muhammad Al-fateh yang berjaya membuka kota konstantinople yang merupakan sebaik-baik raja yang mempunyai sebaik-baik tentera..seperti mana para sahabat..para sollafus soleh..Mereka semua memiliki nilai-nilai pemuda islam yang sebenar.

Dalam al-Quran,Allah telah membentangkan kisah “Ashabul Kahfi” untuk tatapan pemuda islam.Bagaimana Allah tunjukkan kepada kita kisah pemuda yang mempunyai ciri-ciri pemuda yang sebenar dan tabah dalam mempertahankan iman dan agama mereka biarpun hidup dalam keadaan terasing.

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)

Bukalah mata hati anda,wahai pemuda..!!Lihatlah dengan terang dan nyata..terlalu banyak kisah yang memaparkan kita sebagai pemuda sebenarnya mempunyai kekuatan yang luar biasa. Jangan biarkan kekuatan yang ada dalam diri kita terkubur dan terus layu. Terangkanlah jiwa dengan cahaya tarbiyyah agar kekuatan itu dapat dikeluarkan. Sekiranya kita membiarkan masa muda kita berakhir dengan perkara yang sia-sia,maka amat rugilah kita kerana kita kembali menjadi generasi yang tidak mempunyai matlamat dan agenda.Matlamat sebagai sang musafir yang membawa risalah kebenaran di muka bumi ini.Janganlah menjadi kijang-kijang yang pengecut tetapi menjadi singa yang sentiasa lantang menyatakan kebenaran. Saya masih teringat ucapan Soekarno, Presiden pertama Indonesia yang menggambarkan kekuatan dan kehebatan generasi pemuda ..“Berilah aku sepuluh orang pemuda.maka akan aku goncangkan dunia,jika ada sembilan pemuda lagi,maka Indonesia pasti akan berubah”

Muhasabahlah diri wahai pemuda sekalian..bangunlah dari tidurmu..!!kita adalah sebaik-baik umat..kita pemuda islam adalah tentera Allah..carilah ar-ruhul jadid(semangat baru) di jalanNya..agar kita tetap istiqamah di jalanNya..jatuh bangunnya agama ini,adalah berdasarkan keadaan kita..kita perlu menjadi ejen transformasi umat..


"Wahai Pemuda! Seruan pertama sekali kepada tugas ini untuk kamu iaitu hendaklah kamu percaya kepada diri sendiri,hendaklah kamu mengetahui kedudukan kamu dan kamu yakin bahawa kamu adalah para pemimpin dunia sekiranya kamu mahu musuh kamu menjadi hina..Tentukanlah wahai pemuda iman kamu,matlamat dan tujuan kamu"(imam hassan al-banna)

“Ya Allah! Sediakan bagi umat ini para pemuda yang mempunyai keazaman, pengorbanan dan jihad seperti orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Semoga aku tergolong bersama mereka yang akan mengembalikan kekuasaan daulah Islamiah, kemuliaan dan keagungan bagi umat Muhammad ini. Perkenankanlah Ya Allah”

Wednesday, December 8, 2010

Remaja Islam Bangkitlah....!!!

Jom kita dengar lagu ini..best,smart..saya terjumpa video ini dalam blog akhi faisal,catatan seorang pengemis..(^_^)
-jom kita hayati bersama-

Seruan mulia terdengar
Menyeru kalian remaja islam
Tinggalkan kotor hidup jahiliyah
Sambutlaaah…
Bersih hidup dalam tata nan syariah
Pribadi remaja nan tegar
Perkuat iman hadapi zaman
Mulia remaja bersama islam
Sambutlaaah..
Bersih hidup dalam tata nan syariah
Jangan ikuti gaya hidup jahiliyah
Merusak raga jiwa serta agama
Merusak pribadi keluarga negara
Ayo luruskan dengan islam
Citra remaja islam agung nan mulia
Kuat aqidah patuh terapkan syariah
Bersama berdakwah merindukan khilafah
Ayo bangkitlah remaja islam

Tuesday, December 7, 2010

hijrah..satu transformasi

Salam Ma'al Hijrah..

1 Muharram 1432H
Genaplah selama 1432 tahun kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari mekah ke madinah.Kisah yang tetap utuh dan kekal sehingga kini.Kisah hijrah yang memaparkan kehebatan pemimpin dan masyarakat islam dalam mencerminkan sifat pengorbanan, persaudaraan dan perjuangan.Sungguh hebat kisah hijrah ini.Sehingga kita memperingati peristiwa hijrah ini dengan mengadakan berbagai-bagai aktviti seperti ceramah,tampal poster maál hijrah,perarakan dan bermacam lagi.Hampir setiap tahun kita melaksanakan perkara yang sama.Persoalan,adakah kita sentiasa membiarkan peristiwa ini berlalu seperti biasa?atau sebaliknya?Sekiranya kita perhatikan kembali,terlalu banyak manfaat dan ibrah yang boleh diambil daripada kisah yang hebat ini.Dan apa yang telah kita lakukan terhadap diri sebagai hadiah daripada ma'al hijrah ini?atau kita menjadi pemerhati dan pendengar yang setia?berikan jawapan yang telus pada diri kita dan fikirkannya.

Mari kita kembali 1432 tahun yang lalu..sini,saya ringkaskan rentetan kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang saya dapat petik daripada kitab fiqh al-sirah karangan syeikh ramadhan al-buti..
-keizinan rasullullah kepada sahabatnya untuk berhijrah ke madinah dan mereka mula berhijrah secara sembunyi kecuali Saidina Umar al-Khattab
-konspirasi untuk membunuh Rasulullah oleh kafir Quraisy
-baginda mula berhijrah setelah mendapat keizinan dari Allah melalui Jibril a.s bersama dengan Abu Bakar
-Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam Gua Thur selama 3 hari,peranan keluarga Abu bakar as-siddiq
-Selepas 3 hari bersembunyi,mereka meneruskan perjalanan dengan bantuan Abdullah bin Uraiqat
-dalam perjalanan,mereka dikejar oleh Suraqah bin Malik
-kemudian,mereka singgah ziarah di Quba dan membina masjid pertama dalam sejarah islam.
-mereka tiba di madinah dan kehadiran Rasulullah disambut dengan begitu meriah
-Rasulullah menginap di rumah Abu Ayyub Al Ansari
-semua muhajirin yang sudah tiba dilayan sebagai tetamu istimewa.

begitulah ringkasan rentetan peristiwa hijrah yang dapat saya ceritakan.Dalam entri kali ini,saya ingin mengutarakan dua pengajaran daripada kisah hijrah ini:

Pertama: CINTAKAN RASULULLAH
kita dapat lihat betapa cintanya Abu Bakar r.a kepada Rasulullah s.a.w dan beliau merupakan contoh seorang sahabat jujur dan setia malah beliau sanggup mengorbankan segala-gala apa yang dimiliknya termasuklah jiwa dan raga demi perjuangan Rasulullah s.a.w. Lihatlah bagaimana beliau membuktikan cintanya kepada Rasulullah dengan tidak membenarkan Rasulullah masuk ke gua terlebih dahulu tanpa diperiksa,berjalan di depan dan belakang baginda bagi menjaga keselamatan baginda,mengerahkan tenaga ahli keluarganya dan berbagai lagi.
Begitu hebatnya cinta Abu Bakar terhadap junjungan mulia ini,bagaimana pula dengan kita?Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

"Tidak beriman seseorang itu sehingga aku lebih dia cintai berbanding ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya"(riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua: UKHWWAH ISLAMIYYAH
Itsar iaitu melebihkan keperluan saudara daripada keperluan diri.Inilah setinggi-tinggi darjat ukhwwah yang telah dicerminkan oleh masyarakat Ansar.Mereka telah menyambut kedatangan Muhajirin dengan penuh ikhlas.Memberi pertolongan,memberi layanan, membawa mereka ke rumah masing-masing.Pendek kata,mereka merupakan golongan pertama yang menjadi tauladan dalam mempamerkan nilai ukhwwah islamiyyah secara total yang lebih hebat daripada nilai assobiyyah dan saling mencintai kerana Allah s.a.w.Dalam hal ini,Allah s.a.w telah berfirman:

"Dan orang-orang(Ansar) yang mendiami negeri(Madinah) serta beriman sebelum mereka,mengasihi orang2 yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang2 yang berhijrah itu dan mereka mengutamakan orang2 yang berhijrah itu lebih dari mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.Dan,sesiapa yang menjaga atau memelihara dirinya dari tabiat bakhilnya,maka merekalah orang yang berjaya."(al-hasyr :9)

Hebatnya nilai hijrah Rasulullah..
Hijrah bukanlah hanya sekadar perpindahan tempat tetapi merupakan transformasi yang syumul dan secara total dalam diri kita.Transformasi sebanyak 360 darjah perlu dilaksanakan agar nilai hijrah ini meresap dalam jiwa kita.Transformasi ini bukan sekadar menjadi hamba yang lebih istiqamah dalam beramal malah manjadi insan yang mempunyai agenda perubahan untuk umat.Hamba yang menjadi "the pillars of islam" bukannya fitnah kepada bangsa dan agama.Hamba yang kenal siapa dirinya di hadapan Allah.Kita semua perlu berhijrah agar berlaku transformasi dalam diri.Hebatnya para sahabat sehingga kisah-kisah mereka tercatat dalam tinta sejarah dan tak tenggelam dek zaman kerana hijrah mereka ke arah islam.Mereka  telah berhijrah dari zaman kegelapan ke zaman keemasan.Mereka telah menanggalkan pakaian jahiliyyah dan menerima islam secara menyeluruh.Oleh itu sahabat sekalian,kita juga perlu contohi mereka,Jadi seperti mereka.Ayuh kita jadikan peristiwa penghijrahan Rasulullah ini sebagai pemangkin untuk kita berhijrah.

Sempena sambutan ma'al hijrah pada kali ini,marilah kita sama-sama mencipta azam baru.Azam yang mempunyai agenda dan matlamat dalam kehidupan seorang muslim.Malangnya,kini,ramai dalam kalangan kita tidak merasai roh tahun baru hijrah dan mereka lebih menfokuskan azam mereka pada 1 januari setiap tahun.Saya tertarik dengan azam-azam sahabat seperjuangan saya,akh najmi dalam memperbaharui jiwanya menjadi lebih baik.Oleh itu,ayuh kita sama-sama menanam azam baru bagi membebaskan diri menjadi muslim yang sejati.

Jom hijrah bersama!!

Tuesday, November 30, 2010

ikhlas dalam perjuangan...

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am: 162).

Alhamdulillah..
setinggi-tinggi ku merafakkan kesyukuran kepadaMu kerana masih memperteguhkan jiwaku dijalanMu dan tetap thabat beramal di gerabak tarbiyyahMu...sesungguhnya,ini merupakan tarikan keimanan dalam kehidupan yang perlu kita genggam sekuat-kuatnya agar nikmat ini tidak terlepas dan hanyut mengikut arus jahiliyyah..saya termenung seketika tatkala memikirkan kembali makna ayat 162 dalam surah al-an'am..jiwaku benar-benar tersentuh.. Allah..adakah aku selama ini telah melaksanakan pengabdian yang sebenar-benarnya terhadapMu..atau hanya sebahagian..hrmm..

Dalam kita sibuk beramal sebagai kehidupan seorang muslim,akan datang satu masa,jiwa kita berasa lemah dan tidak semangat(futur).Semuanya disebabkan hati.Hati kita amat mudah dibolak-balikkan.Sebagaimana kata ibnu rawaahah,"Sesungguhnya,hati lebih mudah dibolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak"subhanallah.Hati juga merupakan pangkal segala kebaikan dan keburukan.Hati yang tidak ikhlas akan mudah dikalahkan oleh musuh utama kita,iblis dan syaitan.Oleh itu,awasilah hati anda sepanjang masa!!racun-racun hati seperti riak,ujub dan takabbur perlu dihapuskan dan dielakkan sama sekali..satu-satunya solusi terbaek untuk menjaga hati ini ialah ikhlas..persoalannya..
adakah selama ini kita ikhlas dalam beramal?
atau kita beramal sekadar untuk menunjuk-nunjuk?
atau kita beramal dengan niat mengharap selain keredhaan ALLAH s.w.t?
ataupun..kita berasa kagum dengan amal yang kita lakukan?
ataupun..kita melakukan amal dengan harapan menjadi terkenal dlm kalangan sahabat kita?
Allahu akbar..tepuk dada,tanya iman~

Petang semalam..saya berkesempatan berbual dengan Ustaz Fadzlan(isma perak)..apa yang dikatakan beliau.."ikhlas ni,rahsia antara kita dengan Allah..nak tahu sama ada sifulan ini ikhlas atau tak..bukanlah boleh diukur hanya melalui pengakuan lafaz 'terima la barang ni,aku ikhlas ni'..tetapi,orang yang makin ikhlas akan menjdi insan yang lebih tawadduk.. makin berwawasan..semakin "addicted" untuk beramal..ingat,tanpa ikhlas,amal kita akan menjadi sia-sia"...ikhlas juga menjadi penentu adakah amal kita diterima atau tidak.. sememangnya,kita sukar hendak menemui keikhlasan..hatta,terlalu sukar bagi kita untuk menentukan sama ada kita sudah ikhlas atau pun tidak..

benarlah kata-kata seorang tokoh islam berkaitan dengan ikhlas..
" Ikhlas itu ibarat seseorang yang mencari semut hitam, di atas batu yang hitam dan dalam keadaan malam yang gelap.."
subhanallah...

ayuh kita perhatikan manual hidup kita,al-Quran..Allah s.w.t berfirman dlm surah al-bayyinah ayat ke-5 yg bermaksud:
"Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah dengan ikhlas mentaatiNya semata-mata kerana (menjalankan) agama yang lurus"
lihatlah,ayat ini jelas memberi makna bahawa kita semua diperintahkan agar menjalankan ad-deen ini dengan ikhlas.Keikhlasan amat diperlukan dalam beramal.Oleh sebab itu,tidak hairanlah sekiranya Ibnul Qoyyim memberi perumpamaan berkaitan dengan ikhlas seperti ini,"Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan pasir. Memberatkan tapi tidak bermanfaat"Jadi,bagi hamba Allah yang sentiasa tunduk dengan perintahNya,erti ikhlas hanya akan tercerna dalam jiwa apabila ia mengarahkan seluruh lisan,perbuatan dan jihadnya hanya kepada Allah s.w.t..sentiasa mengharapkan kebaikan pahalaNya dan keredhaanNya..tanpa melihat dan memberi keutamaan kepada dunia, pangkat, kedudukan dan sebagainya.. Katakanlah:
"Sesungguhnya solatku,ibadahku,hiudpku dan matiku hanyalah untuk Allah,Tuhan semesta alam"

Ikhlas itu bukanlah pengakuan lidah tetapi pengakuan hati.Allah s.w.t tidak memandang ibadah dan amal kita yang banyak,tetapi,keikhlasan dalam mengerjakannya.Beramal la walaupun sedikit tetapi,sempurna,ikhlas dan berterusan..Apa erti banyak,tetapi semuanya tidak sempurna dan tidak ikhlas.Allah tidak menerimanya.Oleh itu, sebagai penutup, berjuanglah dengan hati yang ikhlas..berkorbanlah dengan jiwa yang murni..ingatlah,yang menerima semua amal,bukanlah manusia tetapi khaliq kita yakni Allah s.w.t..

sama-sama kita perbaharui keikhlasan kita dan perbetulkan niat kita..kita masih belum terlambat..!!

berjuanglah..berkorbanlah..moga amal diterima Allah...(^_^)